“Mana-mana bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa yang baku atau standard, di sisi ragam bahasa basahan atau bahasa sehari-hari, untuk menjadi wahana penzahiran idea, ilmu konsep dan budaya tinggi.”
“Atas nama pragmatisme, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan intelektual beransur-ansur terhakis sehingga tidaklah mustahil bahawa akhirnya bahasa Melayu yang dikenal dan digunakan orang kelak hanya bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi sehari-hari sahaja dan bahasa Melayu tinggi tidak menjadi citra penting lagi sebagai cerminan tamadun bangsa Melayu.”
“Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi, umumnya ternyata begitu prihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya. Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya.”
“Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, bahasa Melayu mengisi erti pendemokrasian pendidikan, dengan pengertian bahawa pelbagai ilmu dapat disampaikan kepada sebahagian besar rakyat melalui bahasa yang satu, sehingga kemungkinan wujudnya kesenjangan atau jurang ilmu dan kemahiran, sebagaimana yang berlaku dalam zaman penjajahan dapat dielakkan kerana kita mempunyai sistem pendidikan kebangsaan, bukan sistem yang memisah-misahkan empat aliran (aliran bahasa Inggeris dan tiga aliran vernakular - Melayu, Cina dan India).”
“Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera merupakan asas kontrak sosial yang tidak harus dilupakan.”
“Kisah kejayaan negara kita dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan adanya dasar-dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas landasan kontrak sosial yang jelas.”
“Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan kayu ukur kemajuan bangsa.”
“Akal itu neutral sifatnya; manusia yang menggunakan akal dengan dasar kebenaran memperoleh faedah yang besar sementara manusia yang menggunakan akal dengan tidak memahami kebenaran semakin jauh daripada keadaan fitrahnya.”