“Definisi epistemologis yang paling tepat untuk ilmu, dengan Allah Subhanallahu wa Ta'ala sebagai sumbernya, ialah tibanya (husul) makna (ma'na) sesuatu benda atau objek ilmu ke dalam jiwa. Dengan memandang jiwa sebagai penafsir maka ilmu adalah tibanya (wusul) diri (jiwa) kepada makna sesuatu hal atau suatu objek ilmu.”
“Saifuddin al-Amidi (1233 Masihi) dalam kitabnya yang terkenal Abkar al-Afkar telah mengumpul dan menganalisis semua takrif ilmu yang terdapat pada zamannya secara terperinci. Beliau mendapati bahawa takrif yang dikemukakan oleh Fakhruddin al-Razi (meninggal dunia 1209 Masihi) adalah yang terbaik. Takrif itu, yang diketengahkan semula dan diperbaiki lagi oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas ialah seperti yang berikut:Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu.”
“Tiada malapetaka yang lebih besar jika institusi pengajian tinggi -yang seharusnya menjadi taman untuk pengembangan ilmu, penghormatan kepada kewibawaan ilmu dan ilmuwan- tidak meletakkan ilmu sebagai keutamaan dan menjadikan ilmu, ulama dan institusi ilmu hanya sebagai alat kepentingan ekonomi, politik atau peribadi; dan apabila institusi ilmu hanya menjadi taman mengutip untung kebendaan sementara, atau untuk menempah kedudukan dan nama. Ini merupakan suatu krisis dan malapetaka kepada sesebuah tamadun manusia, dan tiada kezaliman yang lebih besar kepada tamadun insan daripada kezaliman ini.”
“Penekanan al-Quran terhadap hubungan intim antara epistemologi dan aksiologi dan kerohanian bukan bertujuan untuk merubah keobjektifan data dan fakta yang telah disahkan dengan betul. Sebaliknya ia bertujuan untuk memberi petunjuk yang sempurna, hikmah dan makna berhubung pelbagai dimensi usaha-usaha epistemologi. Justeru itu konsep ilmu dalam Islam mempunyai tujuan, yang ekoran daripadanya pula sejajar secara idealnya dengan keperluan-keperluan weltanshauungnya. Pendapat kesemua sarjana Islam adalah tepat bahawa tujuan utama ilmu adalah untuk mengenali Allah. Walaupun mereka berselisih tentang darjah-darjah ilmu ini.”
“Menurut satu aliran pemikiran, jika seseorang menguasai satu keterampilan, dia telah menguasai seluruh ilmu. Ilmu bela diri bukan jurus-jurus belaka-- ilmu bela diri menyangkut kematangan jiwa. Jika seseorang mengolah jiwanya dengan sungguh-sungguh, orang itu mampu menguasai segala sesuatu, termasuk seni belajar dan pemerintahan. Dia memandang dunia apa adanya, dan sanggup menilai orang.”
“Ledakan ilmu yang dikatakan berlaku masa kini sebenarnya lebih tepat disifatkan sebagai ledakan maklumat kerana dalam banyak hal maklumat yang pelbagai dan kadang-kadang saling bertentangan itu bukan sahaja tidak bermakna, malah lebih banyak menimbulkan kekeliruan. Maklumat yang tidak benar, walaupun mungkin bermakna besar kepada pemiliknya bukanlah ilmu, tetapi sekadar perasaan (dugaan), syak, atau zan. Perasaan (atau dugaan), syak dan zan atau gejala lain yang anti-ilmu akan hancur jika ditentangi oleh ilmu.”