“Kesamaran yang jelas terdapat berkaitan perhubungan yaqin dan zann pada tahap ilmu manusia, walaupun jika ia berdasarkan sumber Ilahi, sepatutnya dilayani dan dihargai sebagai satu keresahan positif. Di sebelah pihak iaitu, pihak yang berkeyakinan, menekankan kemungkinan keputusan-keputusan yang dibuat oleh manusia dan mengelakkan keraguan yang tekal dan buruk padahnya amatlah penting. Pada pihak yang lain pula, aspek keraguan akan keresahan itu mesti sentiasa diingati demi mencegah kefanatikan dan kesombongan yang melampau sama ada berbentuk teologis, saintifik atau sejarah, yang telah mengakibatkan banyak penderitaan manusia, di samping menggalakkan penyelidikan lanjut dalam semangat ijtihad dan shura. Sikap ini akan menggalakkan kerjasama dan akan memajukan perkembangan sains, kemanusiaan dan tamadun bukan sahaja di kalangan orang Islam, tetapi seluruh kemanusiaan.”

Wan Mohd Nor Wan Daud

Explore This Quote Further

Quote by Wan Mohd Nor Wan Daud: “Kesamaran yang jelas terdapat berkaitan perhubun… - Image 1

Similar quotes

“Justeru itu, boleh dikatakan bahawa al-Quran menimbangkan beberapa saluran bagi manusia mendapat petunjuk, bagi memahami tujuan dan peraturan kehidupan dan kewujudan yang lebih tinggi. Di satu sudut terdapat petunjuk berbentuk kitab yang diturunkan dalam bahasa tertentu bagi menghadapi keperluan penting sesuatu umat dan melaluinya ditujukan kepada seluruh manusia. Di sudut yang lain, terdapat bimbingan universal dalam fenomena tabii, sejarah dan psikologi insan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Kedua-duanya saling melengkapi dan yang satu tidak dapat mencapai tahap tertinggi pembangunan individu dan kolektif tanpa yang satu lagi. Sejarah telah menyaksikan bahawa umat Islam menjadi 'mundur' apabila mereka berpegang teguh kepada petunjuk yang pertama sahaja, sementara orang moden menjadi 'sedih' dan 'sesat' dengan menggunakan petunjuk yang kedua sahaja. Ilmu tentang alam semesta dan kekuasaan ke atasnya adalah untuk lebih menyedari kemurahan, kebijaksanaan dan kekuasaan Allah dan seterusnya memperbaiki kebajikan manusia.”


“Bangsa yang kuat tetapi tidak ditunjangi oleh budaya ilmu yang baik, akan memeluk dan menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya itu. Hal ini boleh disimpulkan sebagai satu prinsip umum sejarah.”


“Al-Quran juga mengisyaratkan bahawa terdapat sumber-sumber ilmu yang lain yang jika diiringi dengan kajian dan orientasi yang betul akan dapat menyempurnakan kebenaran ilmu wahyu; sebab pada akhirnya ia berasal daripada sumber yang sama: Allah, tempat asal semua perkara. Walau bagaimanapun oleh kerana ilmu bukan wahyu (aqli) tidak dianugerahkan oleh Allah secara langsung kepada manusia dan ia terdedah kepada begitu banyak batasan-batasan metodologi dan sistem nilai, maka ia tidak mendokong status yang sama seperti wahyu.”


“Manusia hari ini bukan tidak mengetahui banyak perkara; malah sebaliknya. Manusia hari ini memang mengetahui banyak perkara, khasnya tentang kehidupan jasadi insan dan makhluk syahadah (yang nampak) yang lain, tetapi banyak perkara penting yang meliputi kehidupan ruhani dan akhlak tidak diketahuinya. Ini adalah kerana konsep ilmunya amat sempit. dia telah mengeluarkan hakikat penting seperti Tuhan, malaikat, roh diri manusia sendiri dan lain-lain yang diketahui hanya melalui autoriti manusia terpilih, daripada ruang ilmu dan tumpuannya. Autoriti manusia terpilih bermaksud ilmu yang diperoleh melalui para rasul, nabi dan orang yang berakar dalam ilmu.”


“Ledakan ilmu yang dikatakan berlaku masa kini sebenarnya lebih tepat disifatkan sebagai ledakan maklumat kerana dalam banyak hal maklumat yang pelbagai dan kadang-kadang saling bertentangan itu bukan sahaja tidak bermakna, malah lebih banyak menimbulkan kekeliruan. Maklumat yang tidak benar, walaupun mungkin bermakna besar kepada pemiliknya bukanlah ilmu, tetapi sekadar perasaan (dugaan), syak, atau zan. Perasaan (atau dugaan), syak dan zan atau gejala lain yang anti-ilmu akan hancur jika ditentangi oleh ilmu.”


“Jelasnya, keutamaan al-Quran untuk menitikberatkan perbuatan dan proses mengetahui daripada tempat fizikal ilmu. Proses berfikir dan mengetahui dalam al-Quran dijelaskan oleh beberapa kata kerja seperti 'aqila, faqiha, tafakkara, hasiba, zanna, i'tibara, tadabbara dan hakima yang semuanya mesti bermula daripada data dan fakta persepsi indera. Pemikiran dalam Islam seharusnya berteraskan fakta atau data sama ada tentang alam, tabii, hakikat fizikal dan psikologi manusia dan aliran sejarah. Malahan, dalam pemikiran dan renungan mengenai kewujudan Allah yang ghaib umpamanya, al-Quran menarik perhatian akal manusia supaya berhujah daripada persekitara tabii, sejarah dan kejiwaannya dan pengalamannya, yang bertebaran di sepanjang halamannya.”